KESIHATAN
Diet kentang penghidap SDE
JENIFFER akan mengalami loya-loya dan sakit perut jika dia mengambil makanan lain. |
MALANG bagi Jeniffer Radigan, 17, apabila dia tidak dapat menikmati makanan-makanan enak seperti remaja yang lain sejak lima tahun yang lalu.
Gadis kelahiran East Ayrshire, Scotland itu bagaimanapun hanya dapat mengambil kentang berkeju yang dimasak menggunakan ketuhar sebagai makanan hariannya. Semuanya berpunca kerana makanan yang lain akan menyebabkan Jeniffer mengalami sakit perut yang teruk.
Jeniffer dipercayai mengalami keadaan yang dikenali sebagai gangguan pemakanan (SED) yang menyebabkan pesakit menjadi cemas, takut atau loya apabila mereka dihidangkan dengan makanan baharu.
Perkara tersebut menjadikan pesakit tidak memperoleh zat yang diperlukan oleh badan dan akhirnya menyebabkan penurunan berat badan secara drastik.
Disebabkan penyakit yang dialaminya itu, Jeniffer menjadi terlalu cerewet dan hanya akan mengambil kentang berkeju. Menurut Jeniffer, keadaan tersebut menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk makan di sekolah dan menjadi fobia setiap kali tiba waktu rehat.
Ini kerana, dia dikatakan akan berasa cemas dan berada dalam keadaan ketakutan setiap kali melihat makanan yang tidak boleh diambilnya.
"Dahulu saya begitu menggemari makanan berasaskan daging dan ayam, namun kini baunya sahaja sudah boleh membuatkan saya mual dan jatuh sakit.
"Keadaan ini menyebabkan saya terasa sangat tua kerana pada usia semuda ini saya hanya mampu makan kentang berkeju yang dibakar di dalam ketuhar sahaja," jelasnya.
Tambah Jeniffer, masalah tersebut menyebabkan kehidupan hariannya terganggu.
"Saya tidak boleh makan di luar seperti kebanyakan orang kerana menu yang dijual tidak dapat diterima oleh tekak dan badan saya.
"Disebabkan itu saya sering berasa letih dan kerap mengalami kesakitan pada bahagian mata," jelasnya.
Alergi
Akibat gangguan tersebut, Jeniffer kerap pengsan di khalayak ramai sehingga menyebabkan berat badannya menurun secara mendadak.
"Saya pernah jatuh pengsan di atas lantai konkrit sewaktu hari pertama bekerja secara sambilan di sebuah klinik haiwan.
KAREN bimbang penyakit yang membelenggu Jenifferr akan menyebabkan masa depan anaknya suram.
"Keadaan tersebut berulang beberapa kali sehingga menyebabkan saya pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan," jelasnya.
Selepas ujian makmal dijalankan, Jeniffer disahkan menghidap penyakit SED dan kekurangan zat besi serta vitamin B12.
"Sekarang ini keadaan bertambah teruk kerana saya pengsan sekurang-kurangnya lima kali sehari.
"Ada satu masa, badan saya akan menggeletar dan walaupun saya cuba rehatkan badan dengan tidur untuk beberapa minit, badan saya tetap menggeletar apabila bangkit daripada tidur," ujarnya.
Tambah Jeniffer, perkara tersebut menyebabkan dia kecewa dan berasakan dirinya hanyalah sekeping tulang yang sedang mereput.
"Sepanjang lima tahun ini saya tidak mampu menghabiskan makanan yang diambil kecuali kentang goreng berkeju yang dibakar di dalam ketuhar.
"Itu pun jika saya benar-benar lapar," jelasnya.
Tambah Jeniffer, penyakit tersebut juga menyebabkan dia tidak boleh mengambil apa-apa makanan setiap kali bersarapan.
Ini kerana, tindakan tersebut akan mendatangkan kesakitan terhadap dirinya.
"Tidak kira walaupun jumlah makanan yang diambil itu sedikit, saya tetap tidak boleh.
"Pada waktu tengah hari pula saya hanya mampu makan sekeping coklat dan ia merupakan menu harian saya sepanjang lima tahun kebelakangan ini," jelasnya.
Daging merah
Dalam pada itu ibunya, Karen Radigen, 41, berkata, penyakit ganjil dan tabiat pemakanan itu sebenarnya bermula sejak Jeniffer di bangku sekolah lagi apabila dia dikatakan sering mengelak daripada mengambil makanan berasaskan daging merah.
"Pada waktu itu saya sangkakan Jeniffer sedang berdiet dan hanya berdiam diri apabila melihat dia mengelak memakan daging merah.
"Namun, lima tahun yang lalu, tabiat pemakanannya mula berubah apabila sering sakit perut dan pengsan apabila mengambil makanan selain kentang berkeju yang dibakar," jelasnya.
Hal tersebut menyebabkan Karen terpaksa membawa Jeniffer setiap kali membeli barangan keperluan dapur.
Bagaimanapun, ujar Karen, anaknya itu hanya akan mengambil kentang berkeju dan beberapa keping coklat untuk dirinya.
"Saya telah membawanya berjumpa doktor dan pakar kesihatan, namun sehingga kini penyakit itu masih berlanjutan.
"Menurut doktor, Jeniffer perlu mendapatkan sesi kaunseling dengan lebih kerap bagi mengatasi masalah itu memandangkan ia berkait rapat dengan psikologi," jelasnya.
Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?pub=Kosmo&sec=Kesihatan
0 comments :
Post a Comment