Namun, tidak seronoknya apabila tekak mula rasa perit dan gatal selepas kerap mengambil minuman berais. Daripada rasa perit, batuk pula menyusul lalu menyebabkan rasa tidak selesa selama beberapa hari.
Ya, ia mudah berlaku terutama pada musim panas, tapi pernahkah kita terfikir bahawa sakit tekak yang dialami itu benar-benar sakit tekak biasa atau serangan virus mahupun radang pada tonsil?
Menurut Perunding Pembedahan ENT Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Kuljit Singh, sakit tekak sering menjadi petanda awal kepada selesema.
"Bagaimanapun, sakit tekak daripada selesema itu tidak mengganggu dalam tempoh lama dan hilang selepas sehari dua. Simptom selesema lain seperti hidung berair dan tersumbat juga boleh menyebabkan tekak sakit.
"Tonsilitis pula adalah jangkitan pada tonsil yang menjejaskan tisu utama terletak di kedua-dua belah bahagian belakang tekak. Ia disebabkan virus atau jangkitan bakteria dikenali streptococcus.
"Doktor akan mengesat tekak untuk mengambil sampel tisu bagi menentukan punca sakit tekak itu. Sakit tekak virus biasanya diiringi simptom selesema lain termasuk hidung berair, batuk, mata merah atau berair dan bersin," katanya.
Tambah Dr Kuljit, tiada penawar atau ubat yang benar-benar berkesan untuk menghilangkan sakit tekak berpunca daripada selesema virus kecuali mendapat rehat secukupnya.
"Mengambil makanan sihat dan minum banyak air kosong juga dapat membantu menyembuhkannya. Ubat yang diperoleh dari klinik atau farmasi dapat melegakan selesema dan mengurangkan simptom sakit tekak. Bagaimanapun, faedah yang diberikannya agak minimum.
"Tapi untuk kelegaan segera, ia boleh diambil dengan syarat mengikuti dos yang dibenarkan. Antara ubatan yang biasa diberikan ialah paracetamol untuk melegakan sakit.
"Lozenge atau gula-gula berubat bagi melegakan kerongkong dan semburan hidung dekongestan untuk melegakan sakit tekak berpunca daripada titisan hingus seperti kahak atau hingus yang menuju ke bahagian belakang tekak kita.
"Antibiotik tidak akan diberikan apabila mengalami masalah selesema virus atau sakit tekak virus. Antibiotik cuma efektif menentang bakteria, justeru ia tidak memberi kesan kepada sakit tekak biasa, malah boleh memudaratkan jika diambil tanpa keperluan," ujarnya.
Selain sakit tekak, selesema lazimnya menyebabkan masalah hidung seperti hidung berair dan tersumbat. Apabila mengalami tonsilitis, tonsil akan membengkak dan sesetengah kes mempunyai bintik putih atau kuning.
Tanda jangkitan tonsil ini biasanya lebih teruk daripada simptom sakit tekak dengan selesema biasa kerana boleh mengakibatkan hilang selera makan, sakit kepala, nafas berbau, demam, perubahan suara dan kelenjar limfa membengkak di leher.
Jelas Dr Kuljit, apabila wujud simptom seperti ini, segera berjumpa doktor bagi mengelakkan timbulnya masalah lain.
"Jangan ambil ubat sesuka hati atau tanpa saranan doktor. Mungkin sebelum ini anda mengambil antibiotik untuk selesema virus, tapi ia tidak sesuai untuk masalah sakit tekak lain.
"Selain itu, pentingkan kebersihan diri terlebih dulu. Basuh tangan dengan kerap apabila berada berhampiran individu yang mengalami selesema atau sakit tekak.
"Ada kes sakit tekak virus disebabkan oleh ais yang tercemar, jadi seeloknya kurangkan pengambilan minuman berais," katanya.
References
- ^ Sakit tekak tanda awal selesema (myinfokesihatan.blogspot.com)
- ^ E-melkan Ini (www.blogger.com)
- ^ BlogThis! (www.blogger.com)
- ^ Kongsi ke Twitter (www.blogger.com)
- ^ Kongsi ke Facebook (www.blogger.com)
Sumber: http://myinfokesihatan.blogspot.com/
0 comments :
Post a Comment